Monday, 15 December 2014

Punca Kemalangan Jalan Raya Dan Tips Untuk Mengatasinya

KELETIHAN semasa memandu merupakan punca utama kemalangan jalan raya. Kemalangan sebegini boleh terjadi pada bila-bila masa, tetapi masa paling kerap ialah di antara pukul 10 malam hingga 8 pagi dan awal pagi hingga tengah hari.
Kemalangan yang berpunca dari rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan yang teruk berbanding kemalangan akibat punca- punca lain. Pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.
Ini menyebabkan terjadinya kemalangan yang mengakibatkan beribu-ribu kecederaan dan kematian setiap tahun, yang pada hakikatnya boleh dielakkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan keletihan semasa memandu?
Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah-masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga, kepenatan atau keletihan.
Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja.
Rasa letih yang keterlaluan ini tidak sama seperti rasa mengantuk, tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih yang sebegini.

Punca-punca keletihan semasa memandu
* Memandu untuk jangka masa yang lama tanpa berhenti rehat
* Mengambil alkohol
* Kurang tidur dan rehat
* Ubat-ubatan seperti antihistamin, antihipertensi, sedatif atau diuretik
* Masalah kesihatan seperti penyakit Addison, anemia, AIDS, gangguan alahan yang kronik seperti     demam alergi atau lelah, malignan, diabetes, kegagalan jantung
* Senaman berlebihan
* Tekanan perasaan atau stres
* Memandu lewat malam atau awal pagi, iaitu waktu yang pada kebiasaannya anda tidur.

Tanda-tanda keletihan
* Kerap menguap dan mengantuk
* Keliru dan pemikiran yang kabur
* Murung dan mudah baran
* Tindak balas dan reaksi yang lambat
* Khayal atau berangan-angan
* Sukar hendak membuka mata, terasa penat, sakit-sakit badan, mengawal stering sambil lewa
* Tidak nampak lampu isyarat atau papan tanda
* Gagal menumpukan perhatian
* Tidak dapat mengingat apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minit atau beberapa saat lalu
* Badan atau kepala bergoyang-goyang kerana tersengguk-sengguk
* Kereta terbabas atau termasuk ke lorong lain
* Tersengguk-sengguk semasa memandu
* Peningkatan sensitiviti mata terhadap cahaya (tidak dapat menahan silau cahaya).

Pengurusan sendiri
* Perlahankan kereta anda
* Berhenti dan berehat di tempat yang sesuai
* Berbual dengan penumpang jika ada
* Pasangkan radio anda dan cuba menyanyi bersama-sama dengan alunan muzik yang dimainkan
* Turunkan tingkap kereta agar udara segar dapat masuk atau pasangkan penghawa dingin pada tahap maksimum
* Keluar dari kereta dan berjalan-jalan sekejap
* Berhenti sekejap untuk minum
* Berhenti rehat untuk mandi
* Bermalam dahulu sebelum memulakan balik perjalanan yang jauh

Amalkan tabiat baru
* Berhenti sekejap untuk berehat bagi setiap satu atau dua jam memandu
* Berkongsi memandu dalam perjalanan yang jauh dan pastikan anda berehat apabila sampai giliran bertukar pemandu
* Jika anda telah penat bekerja seharian, janganlah memandu untuk perjalanan yang jauh
* Sesekali biarkan udara segar memasuki kereta anda kerana kereta yang sentiasa tertutup boleh membuatkan anda mengantuk
* Rancanglah perjalanan anda dengan mengambil kira tempat-tempat persinggahan menarik yang boleh dilawati di sepanjang perjalanan
* Awasi tanda-tanda yang menunjukkan anda mungkin letih seperti sakit-sakit badan, mata terasa penat dan tidak dapat menumpukan perhatian ketika memandu. Jika ini berlaku, berhenti dan berehatlah
* Rancanglah untuk bermalam di sesuatu tempat jika anda dalam perjalanan yang jauh
* Pastikan ubat-ubatan yang anda ambil tidak mempengaruhi keupayaan anda memandu. Dapatkan        maklumat lengkap mengenainya daripada doktor atau pegawai farmasi. (Dipetik dari Bahagian            Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...